Showing posts with label Emak. Show all posts
Showing posts with label Emak. Show all posts

02 October 2015

Salam Aidiladha 1436H :: Aqiqah & Arwah :: Birthday & Pertunangan

Assalamualaikum…

Entry yang akan cover semua cerita aktiviti di Aidiladha kami..

Berakhirlah sudah Aidiladha..

Alhamdulillah, segala perancangan berlangsung sempurna seperti yang dirancang.

Selesai sudah tanggungjawab papa dan mama mengaqiqahkan Kashfi Elyass. Memang tak berkesempatan bawa Elyass melihat sendiri lembu aqiqahnya (tak perlu pun sebenarnya), walaupun itu sebenarnya yang dihajati pada awalnya.

Pok Usu sempat ambil beberapa keping gambar kandid sebagai catitan memori. Saya letakkan disini. Untuk diulang baca dan tengok nanti. Gambar lembu adalah takde. Yang ada gambar papa Eusoff Elyass pegang kaki lembu aje.. hihi.. boleh la..





Alhamdulillah… terlaksana juga niat saya untuk berikan pulut kuning bersama-sama gulai daging aqiqah.



Perancangan sambutan birthday abang Eusoff pun berlangsung meriah walaupun dalam ala kadar sahaja. Cukup lah… melunaskan hajat si abang untuk sambut birthdaynya beramai-ramai. 

Alhamdulillah, senyuman abang melebar je sepanjang acara bermula sehingga la selesai.

Syukurnya mama rasa, bila segala usaha dan tenaga mama menyediakan semua persediaan birthday abang, dibalas dengan senyuman teruja abang, senyuman kegembiraan abang.


Pertunangan anak saudara saya yang paling sulong pun, berkesempatan kami hadiri. Lokasinya di Kampung Tok Lawit, Kuala Berang.

Paling teruja, bila diberi kepercayaan untuk menggubah hantaran pertunangan dia. Sekadar termampu sahaja.. harap tuan punya badan berkenan la hendaknya…

Selamat menempuh alam pertunangan Amer & Na. Semoga cepat-cepat ke jinjang pelamin.



Alhamdulillah, tahlil arwah untuk emak pun berjalan seperti yang kami harapkan. Semoga hadiah bacaan tahlil dan doa-doa tersebut sampai kepada arwah emak. Insya Allah..

"Ya Allah... Sampaikanlah pahala bacaan tahlil kami kepada roh ibuku Fatimah Binti Senik. Ya allah.. ampunilah dosanya, kasihani dan sejahterakanlah dia. Maafkanlah segala kesalahannya, muliakanlah kedatangannya dan lapangkanlah kuburnya. Terimalah kebaikannya dan hapuskanlah kesalahannya dengan Rahmat-Mu; wahai Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang"

Amin..

Itu je lah sedikit sebanyak cerita Aidiladha saya sekeluarga.

Dalam kemeriahan setiap aktiviti.. dalam hati senantiasa rindukan arwah emak. 
Al-Fatihah untukmu emak..



11 June 2015

Sayu menanti 1 Ramdhan 1436H

Assalamualaikum...

Menghitung hari menanti 1 Ramadhan 1436H bersamaan 18 June 2015 (Khamis).
Genap satu minggu sahaja lagi...

Hati terasa sayu, bila Ramadhan menjelma.. memori bersama arwah emak pasti menjelma satu persatu...

Ya Allah...
Hadirkan emak di setiap tidurku...
Semoga terubat rindu.. 

Lebih-lebih lagi di Ramadhan-Mu.


Al-Fatihah...
Sayang emak sampai ke hujung nyawa adik..




19 October 2013

Bacaan Yassin bersempena bulan kelahiran - Oct 2013

Assalamualaikum...

Nak bercerita perihal balik bercuti sempena Hari Raya Aidiladha bebaru ni. Kurang bermakna rasanya Hari Raya  Aidiladha tanpa  ada sorang pun dalam  keluarga  yang bekorban lembu, kerbau, kambing, biri-biri mahupun ayam sekalipun. Kebetulan pula tiada yang bekorban... jadinya raya kami, ada aktiviti lain yang telah dirancang. 

Balik dari sembahyang  raya, biasanya  sudah sibuk ke  tempat penyembelihan  bagi kaum lelaki.  Tapi kali ini balik dari sembahyang raya, kami adik  beradik, anak-anak saudara, menapak beramai-ramai ke  pusara bonda/atok. Ramai-ramai bacakan Yassin untuk  arwah emak/atok tersayang, bersempena bulan kelahiran arwah Oktober 2013



Ada sendu  di  hati kami tika mengunjungi  pusara arwah. Makin lama arwah meninggalkan kami,  terasa makin hijau rasa  rindu kami padanya. Bila membayangkan wajah dan senyuman emak, terasa  baru semalam  mengucup lembut kedua-dua pipinya.. mendakap erat tubuh emak.



Biarpun sudah 1 tahun 1 bulan arwah emak meninggalkan kami, ingatan cucu-cucu pada arwah tak pernah kurang. Kadang saya suka bercerita tentang betapa atok amat sayangkan cucu-cucunya. Betapa atok amat merindui cucu-cucunya sewaktu hayatnya, betapa atok menunggu kepulangan cucu-cucu setiap kali  hujung minggu. Betapa dulu atok cuba untuk menjadi pelindung kepada cucu-cucu tika dimarah ibu ayah sendiri.

Setiap kali bercerita ada esak tangis yang buat saya sendiri pun  berderai air mata. 


Angah, Adam Mukhriz [Baju melayu biru] yang dulu jika buat perangai.. hanya  atok lah yang mampu memujuk. Angah pasti tewas dengan pujukan atok. Sewaktu atok menghembuskan nafas terakhir, angah seolah hilang "teman".. Sampai  ke  hari ini pun, tiap kali ke pusara atok, angah wajib mengalirkan air mata. 



Tika arwah emak pergi, si kecil ini berumur 1 tahun 11 bulan. Jarang sangat berjumpa arwah atok. Setahun boleh kira dengan jari sebelah sahaja balik kampung Terengganu. Balik pun Eusoff jual mahal sungguh dengan atok dan aki. Tapi setiap malam memang Eusoff akan dapat dengar suara atok dan aki bercakap dengan dia melaui telefon.. setiap malam....

Surprise nya kami...  Khilfi Eusoff masih mengenali  arwah emak apabila ditunjukkan gambar arwah.. Bila ditanya ini siapa......

"Atok" jawabnya... =)

Harap kenangan Khilfi Eusoff bersama atok walaupun sekejap  cuma, akan sentiasa terpahat kukuh di memori ingatannya.. Insya Allah..

Teringat sewaktu bercakap  dengan arwah emak sebelum beberapa  saat arwah koma...

"Malam ni  janji, adik telefon emak  ya.... Emak  nak  cakap dengan Eusoff.. Emak  rasa rindu  sangat  pada Eusoff.. Janji ye malam ni telefon mak" =(

Tak sempat saya nak tunaikan janji..

Rasa rindu pada arwah  saya abadikan  di sini : Emak dalam kenangan

Al-Fatihah..



03 September 2013

28 Syawal ~ menggamit memori

Assalamualaikum….

Syawal sudah dipenghujungnya… berbaki 3 hari sahaja lagi. Esok sudah 28 Syawal 1434H.

Hujung-hujung Syawal ini, teringat pada kisah sedih di penghujung Syawal 1433 Hijrah yang lepas. Penghujung Syawal yang maha sedih dan pedih untuk kami sekeluarga. Dia mengambil kembali emak tersayang pada 28 Syawal 1433 Hijrah bersamaan 15 September 2012. 

Innalillahiwainnailaihirojiun… Darinya kita datang dan kepada-Nya jualah kita akan kembali.

Terasa rindu yang sangat mendalam pada arwah. Rindu yang tak leh nak gambarkan dengan kata-kata. Rindu yang kadang-kadang tak tertanggung… Rasa rindu yang takkan dapat dilepaskan.. Rasa rindu yang maha halusss menusuk ke qalbu..

Rasa rindu ini akan kekal di qalbu hingga ke hujung nyawa.

Rindu nak memeluk erat tubuh emak..
Rindu nak mencium wajah emak..
Rindu nak bersenda gurau dengan emak..
Rindu nak merasa masakan emak…
Rindu..rindu..rindu..rindu….
Rindu segala-galanya tentang emak..

Yang pasti bukan saya seorang merasa kerinduan ini..

Suami, 6 anak-anak yang lain, menantu-menantu dan cucu-cucu.. pasti merasai kerinduan ini.

Kadang rasa rindu hingga kami menitiskan air mata di setiap doa, di setiap Yassin & Al-Fatihah yang dikirimkan.

Kadang rindu hingga kami berdoa agar Allah kirimkan mimpi arwah emak di setiap tidur kami.

Mimpi yang hadirnya arwah itu bukan pengubat rindu, tapi makin menebalkan rasa rindu kami padanya.

Al-Fatihah untuk arwah emak tercinta… Semoga aman, tenang di sana. Amin..

Rindu mak ketat-ketattt...



30 May 2013

Muafakat membawa berkat


Assalamualaikum…

2-3 hari ni, hati rasa tak sedap sebab ada hal yang tak terjangka tetiba berlaku.. Kadang terasa sesal, kadang terasa malu, kadang terasa….. alahaiii… Perkara yang tak remeh sebenarnya, yang memberi impak besar dalam diri.. sampai tak lena tidur.. Hanya en.suami saja yang tahu.. =)

Teringat saya entri ini, tika hati terasa tak keruan..

Apa-apa pun ianya adalah pengajaran dan iktibar yang patut saya ambil. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah.

Sedikit luahan rasa sebagai mukaddimah.... yang pasti saya ambilnya sebagai sesuatu yang positif dan saya belajar dari kekhilafan ini..

Kami ke makam bonda.

Alhamdulillah, disebalik balik kampung tika cuti Wesak baru-baru ni, selain perancangan utama adalah majlis pertunangan adik bongsu kami, ada lagi beberapa aktiviti yang menjadi pengisian berguna kami balik kampung kali ini.

Antaranya, telah diadakan gotong royong membersihkan pusara bonda tercinta. Perancangan dibuat tika balik mengundi pada PRU 13 tempohari. Kami kepusara arwah emak waktu itu untuk membaca Yassin dan kami dapati keadaan kepok senget dan kelihatan seperti tergantung. Mungkin faktor tanah kubur yang berbukit, dan banyak kubur-kubur baru selepas arwah emak pergi, menjadikan tanah merah yang tidak betul-betul mendap. Bila berlakunya hujan, lebih-lebih lagi hujan lebat, mengakibatkan tanah merah mengalir bersama-sama air hujan turun ke tempat yang lebih rendah. Jadilah kubur-kubur di atas, kepoknya menjadi senget dan nampak tergantung. Kubur di bawah pula, kelihatan kepoknya makin tenggelam kerana tanah merah turun ke bawah dan mendap di situ.

Maka kami adik beradik sepakat untuk bergotong royong bagi membaik pulih pusara emak. Perancangannya, menanam rumput karpet disekeliling pusara emak bagi menguatkan akar mencengkam tanah. Harap-harap kepok emak tidak senget lagi. Perancangan lain, meninggikan tanah di dalam kepok, dan menutup keseluruhan tanah dengan batu-batu putih. Perancangan akhirnya, kami akan cat baru keseluruhan kepok dan nisan arwah memandangkan warna putih sebelum ini sudah bertukar warna menjadi kekuning-kuningan.

Alhamdulillah segala perancangan berjalan dengan lancar sekali. Cuma, plan untuk meninggikan tanah di dalam kepok tak menjadi di hari gotong-royong sebab semua terlupa nak bawa pasir sungainya. Jadinya tutup aje dulu tanah sedia ada dengan batu-batu putih. Update terbaru dari ayah semalam, 29 May 2013, ayah dah laksanakan perancangan tersebut. Tanah sudah di tinggikan mengikut perancangan awal anak cucu semua.. Selain itu ayah ada baiki sikit mana-mana nampak kurang.. dan tiap-tiap hari ayah dan adik bongsu kepusara emak untuk menyiram rumput karpet memandangkan cuaca sekarang adalah panas.

Untuk kenangan anak cucu Hj Alias, saya tepek di sini gambar-gambar yang sempat di ambil sewaktu gotong royong tersebut. 














Alhamdulillah muafakat membawa berkat.
  
Dan antara aktiviti lain lagi, telah diadakan majlis arwah untuk bonda-bonda tercinta, yang hilang tiada galang gantinya:

Fatimah Binti Senik 
22 Oktober 1948 ~ 15 September 2012  
Normah Binti Fatimah
07 September 1946 ~ 26 Januari 2011

Al-Fatihah..
Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.Insya Allah..

Alhamdulillah…Alhamdulillah…Alhamdulillah..
Semua perancangan berakhir sempurna, majlis gotong royong pusara bonda, majlis pertunangan Hakim & Fira dan akhirnya majlis arwah untuk bonda-bonda tercinta.

Detik yang akan menjadi ingatan kami sekeluarga sampai bila-bila.. =)

12 May 2013

Selamat Hari Ibu 2013

Assalamualaikum...

Selamat hari ibu untuk semua yang bergelar IBU/EMAK/MAMA/UMMI/MOMMY/AMMA

Kurang makna hari ibu tahun ini buat saya.. tanpa emak tercinta..

Sudah 8 bulan arwah emak meninggalkan kami.... Kerinduan pada arwah tetap segar.. tetap menghijau. Terasa baru semalam menguruskan jenazah emak untuk terakhir kalinya.

Bila diingat balik detik kesedihan itu, terasa saya sangat kuat menempuhi saat kehilangan itu.  Tika memandikan jenazah emak Alhamdulillah, Allah berikan kekuatan yang berganda, tidak luruh setitik pun air mata. Walhal sebelum itu air mata bagai air hujan di musim tengkujuh.. langsung tak dapat dibendung, kejap-kejap mengalir laju....

Tika memandikan, perlahan-lahan saya sapu wajah emak..., dari rambut, ubun-ubun, mata, hidung, mulut.. hinggalah ke kaki… Tak pernah terfikir perkara ini bakal akan saya lakukan. Tapi yang pasti semua itu telahpun saya lalui…

Mata emak itulah yang dulu memandang saya dengan penuh kasih sayang. Mata yang menyaksikan tumbesaran 7 anak-anak dari kecil hinggalah dewasa kini. Mata yang memerhati setiap perbuatan, tingkah laku anak-anak, menyaksikan anak-anak semakin pandai dari hari ke hari, mata yang menangis apabila sedih mengenangkan anak-anak makin jauh dari kehidupan tua nya. mata yang menangis menerima kisah kegembiraan anak-anak.. Mata yang menangis meratapi kesusahan anak-anak. Mata yang tidak tidur malam, mencari rezeki tambahan untuk menampung kehidupan demi sedikit kesenangan anak-anak.

Hidung/pipi emak yang dulu mencium lembut ubun-ubun kami...sedari kecil hingga ke besar kini. Ciuman keikhlasan dari seorang emak..biarpun anak-anak emak ini kekadang bukannya wangi, namun.. hidung ini setia memberi ciuman yang tidak pernah kurang.

Hidung itu juga menghidu semua masakan dibuat ikhlas kepada anak-anak... Nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak, nasi ayam dan segala bagai jenis nasi serta lauk pauk, kuih muih..yang kini kami takkan dapat merasainya lagi.... Terima kasih untuk hidung itu emak.

Mulut emak, yang dulu tidak putus-putus memberi nasihat berguna kepada anak-anaknya. Mengalunkan zikir, nasyid...menyanyikan lagu-lagu untuk anak-anak.. Lagu nasyid sepohon kayu, Bila Izrail Datang Memanggil... Membacakan ayat-ayat suci Al-Quran saban malam dan pagi.... Mengalunkan zikir, selawat Syifa kepada cucu-cucunya.. Kami rindu semua itu dari mulut emak. Kadang-kadang kami dimarahi, dibebeli... kami tahu itu adalah untuk kebaikan kami, kebaikan kepada kehidupan kami. Terima kasih untuk mulut itu mak....

Sempena hari ibu tahun ini…hanya kenangan-kenangan lampau yang mampu diiambau kembali....

Alfatihah untuk emak tersayang dan ibu mertua tersayang..

Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat Allah..


Mengimbau kenangan hari ibu 2012, sewaktu emak saya masih ada.. Selamat hari ibu

=(






08 January 2013

Kita hebat kerana doa mereka.... berterima kasih lah..

Assalamualaikum...
  

"Kadang-kadang kita hanya hebat kerana doa ibu ayah kita,
Tanpa mereka, kita bukanlah siapa-siapa"


Rindu mereka sangat-sangat...



16 December 2012

Kami ke makam bonda....

Assalamualaikum...

Weekend dan bersambung hari Keputeraan Sultan Selangor lepas, dengan mengambil cuti hari  Isnin.. yeayyy!! saya boleh bercuti 4 hari kat kampung Terengganu Darul Iman. Alhamdulillah.. 

Gembira tak terkata ayah saya, anak menantu dan cucu balik kampung... bising la sikit rumah yang besar tu...tapi tak ramai penghuni..lebih-lebih lagi selepas emak pergi...


Kesempatan 4 hari ini, Alhamdulillah...ayah dapat makan makanan yang saya masak, walaupun takde lah sedap sangat.. [biasanya beli sahaja], ayah boleh borak-borak, apa-apa sahaja cerita... saya layan aje setiap cerita ayah [biasanya ayah menghabiskan masa ke masjid, menonton tv dan membaca Al-Quran sahaja]... 

[Berceritalah ayah.... adik akan mendengarnya..jika dengan cara itu membuatkan ayah rasa gembira... :-)]


Perkara yang paling saya rindu nak buat : mengurut badan, kaki dan tangan ayah yang sentiasa ayah mengadu sakit dan lenguh-lengut... Moga, 4 hari saya di rumah sakit ayah berkurangan... Kalau lah cuti saya banyak, mahu aje saya bercuti panjang, mengurut ayah saban malam... Saat mengurut ayah, saya rindui urutan untuk arwah emak juga... :-( 

[Ya Allah, ringankanlah beban kesakitan yang ditanggung ayah sekarang...] 


Ayah saya dah tak boleh bekerja berat, kudrat sudah tidak sekuat dulu... membanting tulang siang dan malam untuk membesarkan 7 anak tersayang. Sekarang, kerja ladang semua abang buatkan.. Ayah cuma memantau apa yang patut sahaja.. Kekadang hanya duduk di rumah, membersihkan halaman rumah... menjaga tok wan (emak ayah).. Kalau masa sihat dulu... semua ayah buat.. sekarang tak mampu lagi... 

[Ya..Allah, kau panjang kan usia ayahku, kurniakan kesihatan yang berpanjangan buat beliau..Amin..]

Kekadang saya rasa kesan kehilangan emak juga... emosi ayah seakan terganggu, mungkin jugak rindu akan kenangan bersama arwah sepanjang hidupnya... Jika dengar dari cerita ayah, beliau tidak mampu nak melupakan saat arwah terkena stoke di depan mata, jatuh terkulai layu di pangkuan ayah.. Permintaan terakhir arwah tak dapat ayah penuhi iaitu emak mahukan ayah mengangkat beliau ke dalam bilik dan diletakkan di atas katil. Disebabkan ayah seorang, dan tak mampu mengangkat emak seorang, dengan keadaan kelam kabut, ayah hanya fikirkan perlu hantar emak cepat-cepat ke hospital.., ayah berlari memanggil jiran yang terhampir dan terpaksa meninggalkan emak sendiri menghadapi sakit yang tak tertanggung..

Dengan bantuan jiran emak dibawa ke hospital menaiki ambulan, namun ayah sangat-sangat terkilan, emak dibawa ke hospital diteman jiran, bukan dirinya.. Emak ayah yang tua dan sudah hilang upaya bergerak  yang perlu penjagaan setiap masa itu, membataskan ayah menemani emak saat-saat terakhir arwah.

Saat menaiki ambulan, ayah tidak putus-putus mengingatkan emak supaya sentiasa mengingati ALLAH dan KALIMAH SYAHADAH.. Ayah dengar ada suara emak dari dalam tekak menyambut pesanan ayah.. Walaupun tika dan waktu itu mata emak tertutup rapat..

Semua itu sebab-sebab ayah murung dan seakan hilang kegembiraan.. Sehingga ke hari ini, jika bercerita tentang emak, air mata ayah peneman setia mengiringi cerita... :-(

[Ya Allah.. doaku moga keadaan ini sementara cuma.... Insya Allah..]
Alhamdulillah.... balik kampung kampung kali ini, saya berkesempatan lagi mengujungi pusara emak. Ayah ikut sekali... Katanya mahu mengemaskan kedudukan batu nisan. Menjejaki kaki ke pusara emak, ada sendu di hati kami anak-anaknya... Yassin kami sedekahkan kepada arwah emak... 

Mak, adik rindu... rindu yang teramat-amat rindu, rindu yang tertanggung.... sampai hujung nyawa...

[Ya Allah...semoga kerinduan ini kekal abadi untuk selama-lamanya.. Peliharakanlah roh arwah emak, tempatkanlah arwah dikalangan orang-orang yang beriman...Amin...]
 
Photo ihsan Google


KE MAKAM BONDA

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena di dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini ku rasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja menghantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabdian
Insan kerdil menghadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan



 

31 October 2012

Wordless Wednesday -Rindu pada mereka..

Assalamualaikum..

Rindu pada insan-insan yang dah pergi..... Al-Fatihah....







30 October 2012

Hidangan saya di Aidiladha...

Assalamualaikum...

Dah berlalu Hari Raya Aidiladha... Alhamdulillah..perjalanan pergi dan balik kampung selamat...walaupun terpaksa berhadapan dengan jem yang sangat teruk... Balik ke Raub yang kebiasaannya hanya 2 jam, tapi terpaksa kami harungi perjalanan selama 4 1/2 jam.. Perjalanan dari Kuala Terengganu ke Batu Caves, hanya mengambil masa lebih kurang 4 1/2 - 5 jam... terpaksa kami harungi selama 12 1/2 jam... :-/ Penat sangat...sampaikan terpaksa saya dan en.suami ambil emergency leave untuk hari Isnin baru ni gara-gara mengantuk dan penat yang tak tertahan. Sabo je laa..

Apa menu saja di Aidiladha...?
Tadaaa......

Gulai ikan tongkol

Ayam masak merah

Acar timun

Nasi minyak

Lemang, Beli..

Ketupat Daun Palas..Beli jugak..

Rendang ayam..ni pon beli..

Sila jangan tergoda dengan gambar ye.....sebab rasanya indah khabar dari rupa :-p
Macam tak berapa menjadi...erkk..atau senang cerita.. memang tak menjadi kot.. :-(

Sedih tau sebab biasanya saya akan call arwah emak bertanya pasal nak masak-masak ni.. Tapi bila emak dah tak ada... terpaksalah saya call, call dan call.. satu-satunya kakak yang saya ada.. . Mujur la kakak saya layan je call saya...

En.suami kata dah sedap dah... tapi hati kecil saya tetap kata tak berapa nak menjadi..... Sebab en.suami suka menjaga hati..Seboleh-bolehnya tak nak hati saya terusik..lagi-lagi bab masak-masak ni..

Tetiba teringat, nasi minyak yang saya buat untuk berbuka puasa Ramadhan lepas... memang 100% emak yang ajarkan melalui telefon...[sabarnye arwah melayan call saya start dari mula masak, sampai la siap masak]. Dan rasanya....sedap!! Saya akuinya.... [bukan nak memuji... tapi tu la berkat emak ajarkan, rasanya sedap sungguh! Siap bagi jiran sikit untuk berbuka puasa... Entrynya : Pencapaian yang terbaik setakat ini..berkat Ramadhan. :-)

Nanak yang memang akan mendahului acara makan-makan..
Hari raya ke-2 saya balik kampung Terengganu Darul Iman. Alhamdulillah majlis arwah emak berlangsung sempurna.. Masak-masak gotong royong adik beradik sahaja.... Alhamdulillah sedap.... Semoga majlis tahlil arwah ini sampai untuk arwah di sana. Semoga Allah merahmati dan memberkati setiap apa yang kami lakukan untuk arwah emak, Insya Allah...


Kerinduan pada emak dan ayah sangat menjadi-jadi sebelum tidur malam tadi, menitik juga air mata ini.... :-( Al-Fatihah untuk arwah emak & arwah emak mertua... Amin..



25 October 2012

Salam Aidiladha 1433H

Assalamualaikum...

Yeayy..yeayy..esok raya!

Photo Kredit to I Luv Islam.Com

Tapi raya korban tahun nie tak lengkap tanpa emak yang tersayang. Apa-apapun... ayah tetap ada menunggu kepulangan kami, anak-anaknya di kampung....

Tahun nie mengikut aturan raya,  saya beraya di Raub, Pahang Darul Makmur [kampung en.suami].

Cuma yang menjadi persoalan sekarang... apa ye menu saya nak masak pagi raya esok..? hahahha..berat betul persoalan itu kan? :-) Dah godek-godek banyak blog tukang masak ari niih..mau mencari resepi yang sesuai untuk dijamah dipagi Hari Raya Aidiladha... finally dapat satu menu, dan dah buat kerahan tenaga pun kat En.suami soh pergi beli.. [en.suami half day, so boleh ler tolong cik isterinya kan...:-) Luv you..]

Semenjak arwah emak tak ada [emak en.suami], bab masak memasak ni memang terpikul di bahu saya. Ye la.. dah 5 orang dalam keluarga, saya seorang sahaja bunganya...yang  lain semua kumbang-kumbang.... Mujur en.suami suka membantu bila saya kat dapur. Entah lah... selera abah susah nak agak..ada masa, apa yang saya masak bertambah-tambah.. Ada masa, cukup sekali makan je.. bila tanya nak tambah lagi..abah jawab sudah... ok, kalo camtu bermakna apa yang dimasak tidak kena selera la tu...

Sebab tu terasa cam mencabar betul bila fikir apa nak masak raya ni.. [esok le tu..]...hihih sebab saya tak pakar dalam bidang tu, apatah lagi nak mereka-reka makanan baru... kita tunggu je lah apa yang jadi.... Harap-harap apa yang saya plan ini, berjaya menyelerakan en.suami, abah, adik dan si nanak kecil, Khilfi Eusoff.. Insya Allah..

Raya ke-2 saya balik Terengganu Darul Iman. Ada kenduri arwah untuk arwah emak saya.
First time untuk balik dan tiada emak untuk sambut kepulangan kami sekeluarga.. :-(
Saya dah tahu saya bakal akan sedih sebab perkara pertama yang akan saya buat bila balik kampung, adalah peluk emak erat-erat..dan cium kedua belah pipinya. Semua itu tiada lagi.....

Apa-apa pun, ayah masih ada... Ayah juga akan menunggu kepulangan kami...peluk cium akan diberikan istimewa untuk ayah tercinta.... Alhamdulillah sehingga saat ini, Allah masih memberikan kami anak-anak nikmat mempunyai seorang ayah, walaupun kami tahu satu hari nanti Allah juga akan mengambil ayah pergi jua.. [tak sanggup nak menghadapi saat itu nanti]
Tetiba terasa rindu jugak kat ayah... Tak sabar nak menunggu hari raya ke-2...

Emak... rindunya... Al-Fatihah untukmu...

Salam Aidiladha untuk semua kawan-kawan blogger! Selamat balik kampung juga!





15 October 2012

Sudah genap 1 bulan..

Assalamulaikum...
Pemergian emak tercinta sudah genap sebulan hari ini. Sekejap sangat masa berlalu... -Al-Fatihah untuk arwah... Yang pastinya kerinduan itu menjadi teman setia setiap masa dan ketika.... Rasa rindu itu takkan pernah pudar selagi nyawa dikandung badan. Insya Allah..

11 October 2012

Counting the hours....

Assalamulaikum...
Semangat saya untuk berbelog entah dah kemana-mana selepas arwah emak meninggalkan kami sekeluarga... Rasa kosong aje......... Mungkin sebab KERINDUAN itu.. -Al-Fatihah untuk arwah emak....
Sekarang, saya tengah counting the hours.... Tunggu menjelmanya hari esok..
Kenapa dengan hari esok?
Takde apa-apa yang menarik pun..... Cuma besok saya ada company trip....huhuhu.... Dah rasa-rasa kepenatan sebagai commitee besok...
Moga-moga "Malam warna-warna pelangi" bakal menceriakan hati saya yang sedih ni '___'
Nanti-nanti saya cerita okey.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright to DIANA SAILA
Designed by UMIESUEstudio 2015