31 March 2016

Parent-Teacher Meeting 2016, CIC Prima Samudera

Assalamualaikum...

Dah lama tak merasa debaran yang satu ini.. Berdebar okeyyy.... 
 
Semalam abang Eusoff bawa balik satu surat, Invitation to parent-teacher meeting 2016 CIC Prima Samudera pada 01 April 2016 (Jumaat). Tetiba nebes lain macamm... 


Hai lah abang Eusoff, apa la bakal diperkatakan teacher nanti ye... Semoga positif-positif belaka lah harapnya. Kalau ada yang negatif pun.., mama papa terima dengan hati yang terbuka. Masih terlalu awal untuk mama dan papa, mengharapkan "Kecemerlangan" yang sangat hebat dari awak sayang. Jika awak cemerlang.. itu adalah BONUS untuk kami!

Allahumma yassir wala tu'assir.


Antara cerita parent-teacher meeting abang Eusoff;
1st quarter progress report 2015

 

30 March 2016

Ini atok saya..

Assalamualaikum...

Ini atok saya... Atok saya nama Nasarudin.. Atok saya adalah abah kepada papa saya. Saya saaaaaayang atok saya. Walaupun atok kuat menyakat saya, tapi saya tetap sayang atok. Waktu kena sakat tu.. memang rasa macam nak marah sikit la kat atok saya ni.. ye laaa atok usik saya.. atok ambil saya bawak lari jauh dari mama.. atok kata mama nak buat kerja, saya tak leh kacau mama... mana boleh macam tuuu.. :( Sebab tu kalau atok nak ambik saya, waktu mood saya tak berapa nak baik, saya akan lari jauh dari atok... :) Kadang-kadang saya jerit tak bagi atok ambil saya.. terukkan saya ni..?? hmm.. kesian atok.. maafkan saya atok.

Maaf, terseksi sikit :p

Tapi..tapi.. kalau mood saya sangat baik, senang hati... saya suka main-main dengan atok. Kalau atok datang rumah saya, atau saya balik rumah atok, atok akan beri banyak duit pada saya dan abang Eusoff.. saya tak tahu apa fungsi duit sebenarnya.. Jadi, saya buat main-main je la duit yang atok bagi tu.. campak dari tempat tinggi, duit tu melayang cantik je jatuh ke lantai. Kadang saya susun-susun je atas lantai tu... Sedar-sedar duit atok bagi tadi tak tahu dah ada kat mana. Hilang dari pandangan saya macam tu jeee...

Mama ambik ekkkk.... :p
Papa ambik ekkkkk..... :p


Atok saya orangnya sangat baik.. Orangnya sangat soft. Arhh.. cakap bahasa Inggeris pulak saya ni.. :) Atok sudah melalui banyak susah senang membesarkan papa. Saya doakan Allah panjangkan usia atok. Saya harap sangat-sangat atok sempat tengok saya dan abang Eusoff membesar dan berjaya.

Rindu rasanya pada atok..



Yang benar,
Kashfi Elyass Kamarul Azam
Cucu atok






29 March 2016

Abang Eusoff gunting rambut lagi... :)

Assalamualaikum...

Sewaktu dating dengan abang Eusoff di AU2 Setiawangsa tempoh hari, ceritanya di sini: Dating dengan abang eusoff : Zootopia terus ambil peluang gunting rambut abang yang tebal sangat dah tu. Mengadu gatal bila berpeluh..., ke sekolah pagi-pagi wajib letak minyak rambut dia yang super strong tu.. rambut keras, terletak elok sepanjang masa. Kesian....

Nampak seperti sangat tidak selesa dah di mata mama.

Upah pizza satu slice, kalau abang nak gunting rambut. Abang angguk perlahan, tanda setuju dengan perjanjian itu.. Kenapa nak berupah bagai tuuu..? Sebab mamanya ni bimbang, nak kontrol abang gunting rambut sorang-sorang, buatnya dia berperangai, mengamuk bagai.. dah huru dan hara la nanti. Jadi mama slow-slow fikir strategi dulu.

Ikut pengalaman gunting rambut yang terbaru, kerja menggunting rambut abang sangat mudah. Cuma ada la syarat yang dia beri. Syarat pun takde lah benda yang susah sangat.

Kalau nak baca, ini ceritanya..
Persediaan sesi persekolahan 2016 :: Gunting rambut 

Dapat satu slice pizza, terus bawa abang ke kedai gunting rambut kat situ. Abang ok-ok je pada mulanya. Bila mintak dia duduk atas kerusi tempat nak gunting rambut tu, terus dia sebut, "saya takut, mama"..

Dah sudah....

Mama cuba tenangkan emosi abang.. cakap elok-elok, pelan-pelan.. pujuk selembut-lembutnya. Akhirnya abang nampak ok.., cuma dia mintak nak duduk atas mama masa gunting rambut tu. Ok lahh... bukan masalah besar pun...

Boleh...! abang berjaya potong rambut walaupun sambil meliuk lentok gelikan mesin kat kepala. Ada masa-masa geli sangat, mengekek-ngekek dia gelak sambil cuba alihkan kepala.

Susah sikit la takde papa, tapi masih boleh gunting rambut juga dengan mama. Alhamdulillah.

Cerita tanpa gambar tak menarik bukan..? Nah gambar abang sepanjang gunting rambut. Mama snap mana yang sempat je. Sebelah tangan pegang abang, sebelah pegang telefon cuba ambil gambar. Gigihkan seorang mama blogger..? :) Sebab apa saya cuba untuk gigih sebegini? Sebab setiap cerita anak-anak adalah catitan kenangan. Saya tak nak terlepas tulis walau satu cerita pun! Insya Allah selagi saya mampu..







Final look (Gambar terakhir), bikin hati mama cair..... :p  





28 March 2016

Nasi minyak Terengganu

Assalamualaikum..

Sabtu baru je yang dah berlalu, saya ada menjemput beberapa orang kawan-kawan sekolah rendah datang ke rumah. Tujuannya untuk perbincangan pasal reunion yang akan datang nanti. Berkebetulan ayah mertua dan adik ipar ada sekali, dan belah malamnya abang saya pun nak datang rumah, maka main masak-masak sikit la hari Sabtu tu. Lama tak masak beria kat rumah. Biasanya buat yang simple-simple je untuk anak-anak dan suami.

Satu-satunya resepi yang saya confident nak masak tanpa perlu tengok resepi adalah NASI MINYAK TERENGGANU. 

Bahan-bahannya adalah.....

Abang Eusoff, Elyass dan papa dorang pun gemar sungguh nasi minyak Terengganu. Makan confirm bertambah-tambah. Berbaloi sungguh masakkan untuk diorang..

Dah banyak kali buat nasi minyak Terengganu ni, awal-awal dulu ada cubaan yang gagal. Siap masak, terpaksa buang semua nasi minyak tu sebab nasinya tak masak.. mentah.. memang tak reti mengagak kuantiti air/susu waktu tu. Sadiss sampai menangis sebab kecewa dengan diri sendiri. Hahahha

Alhamdulillah sekarang dah makin ok, dan dah banyak improvement.

Setiap kali masak nasi minyak Terengganu, setiap kali itu lah ingatan melayang kat arwah emak. Emak sangat pakar bab masak memasak ni. Masakan arwah mak sangat sedap.. lebih-lebih lagi nasi minyak Terengganu ni. Rindu sungguh nak merasa masakan arwah mak..mmmm.... Takkan dapat dah..

Ini kenangan masak nasi minyak ikut tunjuk ajar emak (sewaktu arwah masih ada) 
Pencapaian yang terbaik setakat ini, berkat Ramadhan

Yang ini pula, sebab rindu nasi minyak arwah emak, saya cuba masak sewaktu Raya Aidiladha di kampung Raub. Kurang menjadi.. tapi boleh laaa... 
Hidangan saya di aidiladha

Sejujurnya, saya memang tak berapa pandai bab masak memasak.. tapi demi suami dan anak-anak, tersemat azam di hati, nak belajar memasak sepandai yang termampu... 

Air tangan isteri/ibu, adalah pengikat kasih suami dan anak-anak..

Opss.. gambar nasi minyak tak sempat pulak nak ambil.. sibuk itu-ini dah lupa.. sempat ambil gambar bahan-bahannya je..


Bye!

25 March 2016

Dating dengan abang Eusoff :: Zootopia

Assalamualaikum...

Hari ni mama ada urusan untuk diselesaikan.. Papa dan adik Elyass, masing-masing ke tempat kerja dan ke rumah pengasuh. Abang harini mama mintak cuti sekolah.. temankan mama selesaikan kerja mama.

Urusan mama belah-belah tengah hari sebenarnya.. Pagi bawa abang ke TGV Cinemas, AU2. Sampai kat sana, seawal 10.15 pagi.. dan parking masih kosong. Abang ajak balik, sebab masih night katanya.. yelahh..shopping mall kosong, dan kedai pun baru nak buka..



Ganjaran sebab teman mama, abang dapat tengok wayang, Zootopia. Dan dapat juge abang mengepow mama barang-barang dia seketul dua.. :) Asalnya, macam nak tengok cerita Boboboy.. tapi, bila fikir-fikir balik, next time la kot tengok citer tu.. Macam lagi tertarik nak tengok Zootopia. Bila tanya abang pun, dia nak tengok cerita ni juga.




Beli tiket wayang tak perlu beratur panjang, terus tuju sahaja. Sama gak masa nak beli air dan pop corn.. terus je ke kaunter dan terus je dapat.. bahagia sungguh hidup.. :p

Keseluruhannya cerita Zootopia ni sangat best!! Abang fokus sungguh mengadap layar skrin yang besar tu.. Dan nak tahu.. dalam besar-besar panggung wayang tuuu.. hanya kami berdua je penonton ketika itu. Waktu-waktu genting dalam cerita tu, abang melompat-lompat ketakutan.. menjerit-jerit tak ingat.... Siap lari-lari setempat!

Ikut awak la abang, tak mengganggu siapa-siapa pun..


Bukan dia makan pun pop corn tu.. mama layan sorang je..

Kuat sangat sound katanya..

Dulu-dulu dating tengok wayang dengan papa, sekarang dating tengok wayang dengan anak bujang..


Mama <3 Eusoff

:)



24 March 2016

Sarapan pagi abang Eusoff -NASI

Assalamualaikum...

Setiap pagi di hari persekolahan Isnin - Jumaat, abang Eusoff perlu di beri sarapan pagi dulu sebelum ke sekolah. Kalau tak beri makan... abang akan bad mood hingga ke sekolah. 

Perjalan pagi ke sekolah, tunggu mama suap makan..

2-3 bulan ni, abang dah kurang minum susu pagi. Jadi sebab itu la setiap pagi pun, dia mesti minta nak sarapan pagi dulu.

Sebelum ni kami singgah makan kat gerai makan berhampiran rumah.. tapi asyik lewat je pagi-pagi sampai ke sekolah dan ofis.. jadinya mama papa tukar cara bungkus suap dalam kereta sahaja.

Sarapan utama abang - NASI
Tak kisah la nasi putih berlauk ke.. nasi lemak ke.. nasi minyak ke.. asalkan NASI. Beratkan makanan pagi abang...?? Yee.. abang sangat gemarkan NASI.

Nasi lemak.. tengok tangan sikecil tak menyabar-nyabar

Makanan lain memang dia kurang nak makan.. mee/behoon.. roti.. bila keadaan terpaksa, tiada pilihan makanan lain, dia akan makan juga la sikit.. tapi masih jugak mintak nasi lepas tu... Seolah-olah makanan lain tak memberi effect kenyang pun pada abang.

Kadang rasa macam nak marah.. tapi, bila tengok abang merengek nak nasi.. datang kesian pula. Takpe laa.. dah memang NASI yang dia gemar.

Sebenarnya bimbang.. takut abang obesiti je.. sekarang pun dah sado sangat dah tapi masih la tak obes lagi, masih sesuai berat abang dengan ketinggian dia.. Akan datang nanti.. itu yang membimbangkan.

Petang-petang sewaktu ambil abang dari sekolah, biasanya dia berpeluh satu badan, teacher kata abang main kejar-kejar dengan kawan-kawan. Balik rumah main kejar-kejar dengan Elyass pulak... Ok la tu kan.., sekurang-kurangnya terbakar juga serba sedikit kalori yang abang ambil tiap-tiap hari tu...

Makan pagi -NASI
Makan tengah hari -NASI
Makan malam -NASI

Nasi..nasi..nasi.. rungsing mama kamu ni abang, sebab mama tak suka nasi.. :(






20 March 2016

Rutin harian mama papa beranak 2

Assalamualaikum...

Salam Ahad kepada semua pembaca blog kecil saya :)

Jom cerita perihal rutin harian mama papa beranak 2, sementara sedang sediakan nasi lemak untuk sarapan.. dan sambil juga sedang menunggu siap kain baju terakhir di dalam mesin basuh, setelah semalam siap 4 pusingan kain baju, dan siap juga dijemur. Masih menanti 1 bakul kain yang telah siap di basuh untuk disidaikan. Tunggu sekali siap yang sedang dibasuh ni.. sekali sidai nanti. Sambil-sambil itu layankan juga si kecil Elyass dan abang Eusoff main mainan, nakkan itu ini.

Macam super mama bukan..? :p
Super papa pun menolong sama sebenarnya... tak lah terlalu banyak dan sukar kerja saya.

Rumah dah siap berkemas malam tadi. Cuma part bilik anak-anak, setelah kemas sempurna sekalipun.. tetap kawasan jajahan anak-anak itu akan bergolak kembali.. takkan pernah aman.. heheh..

Rutin mengutip, mengkategori, menyusun, mengemas, menyapu seperti tiada penghujung untuk bilik mereke.. tika mama melayan rasa "M" cukuplah sekadar menutup pintu bilik je. Tunggu lah bila datang rasa "R" nanti.. baru lah elok-elokkan kembali.

Waktu makan pun, umpama ke medan perang... pergolakan yang maha dahsyat.. abang Eusoff ok-ok sahaja. Cuma si kecil Elyass, waktu makan sepertinya masa yang sangat seronok untuk dia. Ada masa-masa.. seperti bagi makan ayam itik... nasi dibaling-baling ke lantai..



Eh..jangan salah faham.. bercerita perihal penat lelah sekadar perkongsian sahaja.. bukan tujuan untuk mengeluh. Saya tahu bukan saya dan suami sahaja mengalami situasi-situasi sebegini. Kebanyakkan mama papa diluar sana pun sama...

Jom la kita enjoy the momment. Positif kan diri. Plan setiap apa yang nak kita uruskan sepanjang hari.

Entry ini pun sebenarnya bertujuan untuk memotivasi diri sendiri.. Harap memotivasikan mama papa yang membaca juga ye.. :)

Bye!

17 March 2016

SOHO -Small Office Home Office

Assalamualaikum…

Pada saya sangatlah menjadi keperluan di setiap rumah menyediakan satu ruang khas untuk penyimpanan dokumen-dokument penting, bil-bil semasa, resit-resit bayaran… Selain dari memudahkan dan memendekkan masa untuk mencari semua benda ini apabila diperlukan, ia juga secara tidak langsung menjadikan rumah kemas sentiasa, tiada lagi surat-surat disana sini, bil-bil disana sini.. resit-resit di mana-mana, buku-buku dimerata tempat. Semua masalah itu selesai dengan adanya satu ruang khas ini. 

Sebenarnya, kalo ikut kehendak hati, saya sangat menginginkan satu ruang khas ini untuk penyimpanan semua benda yang saya sebut di atas, selain saya juga dapat berblog dengan selesa disitu. Yee.. saya menginginkan satu SOHO yang simple, mempunyai ruang penyimpanan untuk buku-buku, dokumen-dokumen dan segala bagai benda lagi. Lagi cun perabot di workstation saya berwarna hitam.. Arrgghhh hitam itu menawan…

Aiishhh…angan-angan tinggi melangit..  (‘____’)

Saya tahu, tak semua bende boleh dapat dalam sekelip mata. Lagi-lagi bila ia akan melibatkan kos untuk mendapatkan apa yang saya nak itu ~ pasrah..

Bila terpaksa pasrah untuk tidak mampu mendapatkan full set SOHO, seperti cita-cita saya seperti di atas, tidak bermaksud cita-cita itu terkubur begitu sahaja. Ada cara lain untuk dapatkan juga mengikut budget ciput yang kita ada. Utamakan mana yang perlu.

Alhamdulillah, masuk rumah sendiri ni en.suami merialisasikan hasrat saya untuk membuat satu SOHO di bilik utama kami. Biarpun masih tak dapat complete full set seperti yang diangan-angankan.. dapat yang ini pun dah syukur Alhamdulillah. 

Wayar berselirat -perlukan cara untuk menyelesaikan masalah ini..


Perabot yang simple tapi nampak best dan yang penting harga yang murah. Kat mana lagi pilihan kami.. IKEA la jawapannya.

LINNMON / ADILS table - RM99.00
SNILLE Swivel chair - RM55.00
SKURAR plant pot - RM9.90
Sepohon pokok -RM1.90

Nakkan set SOHO berwarna hitam pada asalnya, tapi untuk suai padan dengan perabot sedia ada yang berwarna putih di bilik utama, redha je la dapat set SOHO berwarna putih. Ok je.. cun juge...


Ini lah tempat, kami menyambung kerja bila balik ke rumah, tempat ber-fb, ber-blogging, ber-youtube.. Jarang-jarang sekali abang Eusoff tumpang  buat homework disini dan Elyass tumpang sekaki tengok kartun di sini.


Buat masa sekarang dokumen-dokument penting, bil-bil semasa, resit-resit pembayaran, dokumen-dokumen kerja tumpang di rak buku abang Eusoff dulu. Di-filekan elok-elok dan disusun atur sebaik mungkin untuk memudahkan proses pencarian dokumen. Mungkin akan lama menumpang di situ kott... Mujur tuan tanah ok-ok aje! :)





16 March 2016

Syafakallah anak-anak dan papa

Assalamualaikum

Bila sampai waktu yang sangat kritikal untuk kerja-kerja ofis, waktu itu juga lah anak-anak dilanda sakit. Elok sungguh percaturan Allah.. tak semestinya lurus perjalanan hidup, ada simpang siurnya.. Bertabahlah mama, perlu lebih bertabah lagi bila anak-anak sakit, papa pun sakit sekali.

Demam, batuk, selsema. Complete set!

Hari ini mama cuti kerja.. 

Shafakallah abang Eusoff, Elyass dan papa..
Moga esok kalian bakal sihat sejahtera.. 

Rumah tak ceria bila mereka tak sihat.. :(

Melayan si kecik yang berperangai dari pagi..

12 March 2016

Khidmat penghantaran bateri kereta -BATERIKU.COM

Assalamualaikum..

Berliku cerita perjalanan hari Sabtu kami. Hari ni ada appointment dengan supplier... pukul 11.00 pagi di PJ. Keluar rumah pukul 9.45 pagi, start kereta batery kong pulak... 

Menggagau papa cari siapa yang boleh tolong jumper bateri kereta.. ok, abang akan datang tapi take time sikit..sebab baru nak siap-siapkan diri.

Mama bawak anak-anak ke kedai makan terdekat sebab abang Eusoff dah merengek lapar. Tak dekat jugak la.. bila terpaksa berjalan melalui 3 blok rumah baru dapat keluar pintu guard house.. dan jalan lagi menghala ke kedai makan. Kedai makan terdekat tutup.. mama bawak ke depan lagi.. ke depan lagi.. sampai Elyass dan terjatuh beberapa kali pastu surrender mintak mama dukungkan. Abang pulak tak henti-henti tanya, "jauh lagi ke mama..? jauh lagi kee...?"

Dalam berjalan slow-slow, Sebelah tangan pimpin abang Eusoff dan sebelah tangan pegang Elyass.... peluh dah tap...tap.... tetiba lalu satu van hijau.. BATERIKU.COM. Kalut-kalut saya tahan dengan anak kiri kanan, minta dia ke alamat sekian..sekian.. 

Allah menghantar bantuan tanpa kita jangka pun. Maha kaya Allah, Tuhan sekalian alam. 

Abang datang bawak kereta dia, tolong jumperkan memang tak jalan..sebab usia bateri dah 1 tahun. Mujur lah BATERIKU.COM ada. Terus tukar bateri dan-dan tu juga. Dengan bayaran RM170.00 rasanya ok sangat dah.. Hanya bayar untuk harga bateri, khidmat penghantaran adalah percuma. Nak tahu lebih lanjut, check la laman web dia. - BATERIKU.COM


Sejujurnya tak pernah tahu ada khidmat penghantaran bateri kareta sehingga kemana saja kereta bermasalah bateri ketika itu. Dah terkena sekali macam ni, lepas ni dah tahu mana nak mencari.

Kesian anak-anak laa.. tak pasal-pasal berpanas jalan jauh pagi ni.. Terima kasih sayang-sayang mama.. Kamu lah sumber kekuatan mama papa.


☝ dapat dari perkongsian kawan-kawan di muka buku. Saya panjangkan lagi perkongsian di sini.. Semoga bermanfaat!



Kalau dapat anak girl comel macam ni la kot!

Assalamualaikum..

Cerita pasal abang manjang, cerita pasal adik pun kena juga.. Gilir-gilir ye mama....
Adik tak banyak cerita, sebab kecil lagi.

Elyass dah 1 tahun 7 bulan sekarang.. Tak nak cerita pasal perkembangan lagi.. Baru je cerita pun.. tunggu 5-6 bulan lagi pulak, apa perkembangan lain dak kecik tu..

Update sikit pasal saya -1.6 years mama-Kashfi Elyass
Update sikit pasal saya -1.4 years mama -Kashfi Elyass
Update Elyass 1 tahun : saya sudah berjalan
Elyass turn one

Owh.. perkembangan terbaru... Elyam makin tembam....kuat makan!

Ni gambar terbaru sangat.. 

Nama saya Kashfi Elyass

Dia boleh pakai tudung mama ni 1/2 jam direct sambil main-main. Pelik.. mama yang tengok rasa rimasnya lahai.. dia rileks je..

Macam-macam ragam... 





11 March 2016

Abang Eusoff sudah tidur di bilik sendiri

Assalamualaikum..

Sebelum tu, apa kata baca entry-entry ni.. Entry lama berkurun dah..bercerita tentang cubaan-cubaan serta harapan untuk abang Eusoff tidur sendiri. Lama dahh.... tapi tahun 2016 baru berjaya!

Berusaha ajar nanak tidur bilik sendiri
Checklist terpenting untuk Khilfi Eusoff tahun 2013

Kisahnya begini..

En.suami outstation 1 minggu lebih penghujung Fabruary aritu sehingga awal Mac. Anak-anak saya kena uruskan sendiri. Bermula dari bangun pagi hingga la nak tidur malamnya.. Penat rasanya, sebab biasanya hal anak-anak papa diorang banyak tolong uruskan juga.

Satu malam, abang Eusoff tertidur awal kat bilik mama papa. Penat gayanya seharian di sekolah, malam boleh tertidur awal lepas siap segala-galanya.. mandi, solat, ngaji dan homework. Waktu tu abang batuk-batuk sebelum tidur. Dah ingatkan, kalau batuk dan rasa nak muntah bangun cepat-cepat kita ke toilet. Mama offer bawa bekas muntah siap-siap kat katil, abang jawab "Tak yah mama, saya bukan nak muntah pun.." -Ok mama tak standby la bekas muntah dah abang kata macam tu.

Dalam 12.15 malam, batuk abang makin kerap.. mama kejutkan, kalau nak muntah kita ke toilet. Abang eleng kepala. Ok..takpe.

Tetiba, abang batuk dan mama dah standby nak angkat abang ke toilet.. tapi tak sempat.. abang termuntah atas katil. Bukan muntah makanan pun, muntah kahak je banyak.. sebab tu dari tadi terbatuk-batuk.. Geli tekak agaknya.

Mama rasa nak marah sungguh waktu tu. Dah ingat kan, dan berpesan.. dah offer nak standby bekas pun, tapi abang tak nak.. 

Betul-betul menguji kesabaran... Tapi Alhamdulillah la, boleh bersabar.. tak marah pun.. cuma masa tu saya bertegas sungguh.. "Malam ni abang kena tidur sendiri dalam bilik abang! Tak boleh tidur dengan mama! sebab katil mama abang dah muntahkan.. takde tempat abang boleh tidur dah"

Elok je, lepas dah siap cuci badan, pakaikan baju semua dia masuk tidur di bilik dia sendiri.. tidur lena sampai pagi..

Hati saya rasa sayu.. 2-3 kali jenguk dia kat bilik sepanjang malam tu. Batuk takde langsung dah lepas muntah kahak tu. Lena sampai pagi..

Malam kejadian..

Bangun pagi mood dia ok macam biasa dah.. mintak maaf ngan mama pasal malam tadi muntah kat katil mama.. :) Haii la anak....... cair hati mama pagi-pagi..

Bila ditanya malam nanti nak tidur mana?

"Nak tidur kat bilik saya la mama.." - Sampai la ke hari ini.. abang tidur di bilik sendiri.

Alhamdulillah.. mudah je bila dah sampai masanya. Tak perlu nak paksa-paksa pun. Sampai masa dan ketika, dia akan sendiri faham yang dia dah besar dan dah tak boleh tidur dengan mama dan papa lagi.

Untuk beri lebih semangat, selesa nak tidur malam, memudahkan abang bangun malam untuk ke toilet... sudi-sudi la baca di entry ini - IKEA haul untuk anak-anak

Ada yang sedang melalui pengalaman seperti saya? Jom kita kongsi cerita.. :)




10 March 2016

IKEA haul untuk anak-anak

Assalamualaikum..

10 - 27 Mac 2016, IKEA sale wehhh... 

Kat muka buku, peminat-peminat tegar barangan IKEA upload gambar-gambar secara live apa yang sales saat dan ketika itu, apa yang mereka borong saat dan ketika itu. Penuh troli... PS bertungkus lumus mengambil order... pm..pm..pm...

Kesian kat kami-kami yang sedang bekerja ni, lagi-lagi peminat-peminat barangan IKEA tapi jauh pulak dari KL.. tak mampu nak dan-dan tu ke IKEA. Jenuh la mencari PS yang boleh tolong mereka belikan, boleh gunakan khidmatan penghantaran direct atau khidmat pos bagi yang berada di luar kawasan. Simpatilah pada kami.. Jangan la membeli penuh troli.. ingat la sikit kat orang belakang ni..

Hihihih..

Semalam 09/03/2016, ikutkan hati ajak en.suami half day. Nak merasai juga apakah nikmatnya SALE di IKEA ni. Mentah-mentah permintaan saya di reject! :(.. Sabo..sabo.. kata en.suami.. Sale masih panjang..

Balik kerja petang, selesai ambil abang Eusoff dan Elyass.. terus ke IKEA Damansara. Sebenarnya, bukan nak membeli sangat la... dapat carpet ULLGUMP hitam polkadot putih yang harga asal RM99.00 lepas sales dapat RM59.00 tu pun ok dah..

Tapi kan.. kalo dah namanya sales harga jatuh menjunam, sales dah start dari pagi.. perginya belah petang nak kemalam, agak-agak ada lagi ke tinggal untuk orang belakang? HABIS.

Kecewa la seposen.. hihihi

Nak ubati kekecewaan, meh la beli barang-barang untuk anak-anak. Ada lah beli, Lampu meja LAMPAN yang takde sales RM16.90 warna biru, bangku BOLMEN RM19.90 yang juga takde sales dan ada lah beberapa barang kecil-kecil lagi.. tuala NACKTEN RM1.50 sehelai beli 2 helai, bekas siram bunga/tumbuhan warna hijau IKEA PS VÅLLÖ RM2.25.



Tak dapat karpet yang menjadi buruan semua orang tu pun takpe la.. Dapat 2 ketul barang untuk anak-anak ni pun dah cukup happy dah...

Abang Eusoff dah tidur di bilik sendiri tau.. 

Beli lampu meja LAMPAN tu untuk memberi lebih semangat lagi pada abang Eusoff untuk kekal tidur di bilik sendiri sampai bila-bila pun. Sebelum beli lampu ni, abang tidur menumpang cahaya lampu tidur dari bilik mama papa je.

Beli bangku BOLMEN pula adalah untuk kegunaan abang Eusoff buka lampu tandas, bila bangun malam-malam. Takde la kejutkan papa dan mama lagi dah. Abang dah boleh berdikari sendiri dah.

Abang malu-malu meow jadi model mama..hihi

Lain entry, insya Allah saya akan ceritakan bagaimana bermulanya abang Eusoff tidur asing dari papa dan mama.

:)



09 March 2016

Eusoff dan Elyass :: kami terima sebagaimana kamu seadanya

Assalamualaikum...

Berpagi-pagian ke office bersama suami, sibesar Eusoff dan sikecil Elyass.

Sepanjang-panjang perjalanan mama bizi suap makan anak-anak.. lupa sungguh pasal gerhana matahari pagi ni.. terkilan rasa.. jujurnya tak pernah dalam hidup ini, merasai sendiri gerhana-gerhana yang pernah terjadi. Sembahyang sunat gerhana apatah lagi.

Semoga satu hari nanti, saya boleh merasai.. melihat gerhana, dan sembahyang sunat gerhana. Insya Allah..

Mujur ramai sahabat-sahabat muka buku pakat share saat-saat mereka nikmati kejadian gerhana pagi tadi. Dapat la tengok juga walaupun melalui gambar sahaja.


Ini juga saya dapat dari perkongsian kawan-kawan di laman muka buku.. 

Sangat-sangat bersetuju👍👍👍

Walaubagaimana pun keadaan anak-anak mama dan papa sekarang, mama terima dengan hati yang ikhlas. Susah mahupun senang..


Kerana mama dan papa yakin..
ALLAH PASTI KEKALKAN NIKMAT.




06 March 2016

CIC Safary Hunt Sport Day 2016

Assalamualaikum...

Alhamdulillah.., 05 March 2016 (Sabtu) bertempat di Stadium Badminton Cheras, sekali lagi kami berkesempatan menghadiri CIC Sport Day 2016 bertemakan Safary Hunt. Untuk tahun ini, sport day bermula di sebelah petang. Sedikit bimbang dengan mood petang abang Eusoff, takut mengantuk..



Tapi Alhamdulillah... dia tersangat lah ok dan nampak excited bila dah sampai kat stadium. Laju-laju je nak cepat masuk ke stadium.. nak jumpa teacher dan kawan-kawan katanya. Lepas dah hantar abang masuk group.. mama, papa dan Elyass cuci mata di luar stadium, tengok gerai-gerai jualan. Kami habiskan kupon dengan membeli makanan jualan. 3 bekas spaghetti, 2 air kotak dan 3 plastik kecil keropok ikan. Selesai membeli, terus naik ke tempat duduk penonton di bahagian atas.


Jauh sangat di atas duduknya.. tak nampak jelas abang di mana dah. Tapi mama, papa tak letih tangan pun melambai-lambai di kejauhan tanda sokongan yang tak pernah kurang.


Sepanjang majlis berlangsung, mujur lah mood Elyass sangat ok. Tak merengek langsung. Abis 3 plastik keropok ikan makan sorang-sorang. Bila ada muzik-muzik rancak, layan juga dia.. bertepuk tangan sambil pandang warna-warni pakaian abang-abang, kakak-kakak kat bawah.

Mama, papa dan Elyass @ CIC Safary Hunt Sport Day 2016

Dapat makan tak pandang kiri kanan dah..

Mama, papa sangat excited waktu kumpulan biru, BlueHyppo mempersembahkan lagu pasukan.. Waaa, semangat lain macam tau.. dah la sehari dua ni abang dah tunjukkan kat mama, dia punya pergerakan kaki tangan lagu tu.. mau je berdiri dan buat sama..heheh Tapi tak buat la.. nanti apa lak parent lain kata kan.. :)

Hyppo..hyppo! go! go! go!

Bermula aktiviti sukan, tak dapat nak fokus dah mana abang waktu tu di lapangan arena. Cuma mampu doa je, apa pun acara yang abang sertai, buat bersungguh-sungguh. Tak menang, tak apa. Janji abang dah cuba setakat mana abang mampu..

Heheh.. memang tak menang pun.. Papa ada masuk jenguk dekat-dekat.. katanya abang berlari sambil menguap...hahaaaaaah... macam tu pun boleh tau abang ni.. penat dan ngantuk la tuu..

Tahniah kepada pemenang-pemenang cilik Children Islamic Centre.. Terutama pemenang dari group BlueHyppo, terutama lagi kepada pemenang dari CIC Prima Samudera... dan  yang paling best lagi kumpulan BlueHyppo menang sebagai pasukan sorak tau.. Yeaayyyyy!! Tak sia-sia latihan abang kat rumah saban malam tu... hiihihihi

video


Maskot-maskot mewakili rumah sukan -Yellow Girrafe, Green Crocodile, Red Lion, Blue Hyppo

video

Nak bergambar ngan teacher sebenarnya ni..sekali tu terambil video laa... takpe, mama abadikan juga di sini untuk kenangan abang Eusoff besar nanti.

Tahun ni tak menang, jadinya abang dapat button badge je tanda penyertaan

Selesai majlis lewat petang dah.. keluar dewan terus mintak aiskrim.. mintak nasi goreng tayya (patayya), dan minta nak tidur..

Memang tertidur sungguh dalam perjalanan balik..

Walaupun abang tak menang.. tapi mama bangga dengan kesungguhan abang.

Tahniah sayang..!!





05 March 2016

Hyppo..Hyppo! Go! Go! Go!

Assalamualaikum...

Dua, tiga minggu ni abang Eusoff bercerita perihal latihan menyanyi untuk sport day kat mama papa. Setiap hari pun update pasal apa yang dia berlatih hari itu. 

Paling excited bila abang tunjukkan kat mama papa lagu kumpulan BlueHyppo siap dengan pergerakan kaki dan tangan. Nyani dengan penuh perasaan dan kesungguhan walaupun masih perlu banyak diperbaiki lagi.. kehkehkeh

Boleh dah tu.... abang yang nyanyi, mama pulak yang semangat! Haaaa okey apa.. Kira aura semangat tu adaa..

video

Bila diulang tengok video ni, terdetik di hati "Besar dah abang Eusoff...." Sport day tahun lepas waktu usia 5 tahun.. apa pun abang tak bercerita.. 

Abang dah besar.. besar sangat dah.. :(

Tetiba sedih..




03 March 2016

Tempat mereka beraktiviti, menerokai dunia imaginasi.

Assalamualaikum...

Empat bulan yang lepas, struggle kami menghadap cabaran berpindah rumah. Struggle dari segala segi.. kewangan, fizikal juga emosi..

Alhamdulillah..semua kesulitan dan kesusahan sudah berlalu. Progress keseluruhan rumah, hanya tinggal bilik ke-3 tak settle. Tiada penstoran sempurna untuk kain baju. Pelan-pelan la.. Nak semua dalam sekelip mata, takkan mampu.

Jom baca cerita, bagaimana kami settlekan masalah barang-barang di bilik ke-3 Carboot sale au5 Lembah Keramat

Ini janji saya pada pembaca blog saya.. Nak review bilik tidur merangkap bilik mainan abang Eusoff dan Elyass.

Ini gambar sebelum yang sangat-sangat tak sedap mata memandang. Mujur tak bertahan lama. Bilik ini, kami sempurnakan awal-awal masuk rumah. Mahukan anak-anak ada tempat selesa untuk mereka beraktiviti, menerokai dunia imaginasi mereka.



Bilik anak-anak telah siap susun atur dan didekorasi seawal bulan pertama haritu pun lagi.  sekadar mengikut kemampuan je.. Anak-anak nampak suka. Takde tema dan konsep. Mama bukan la pakar sangat bab-bab menghias dan menyusun atur dan mendekorasi ruang ni. Main hentam saja. Asalkan sedap mata memandang, itu sudah cukup.

Warna keseluruhan bilik memang mengikut permintaan abang Eusoff.. nakkan color blue.. 
Untuk kelainan, kami beranikan diri menggunakan wallpaper Kaison untuk satu dinding di pintu masuk bilik.. Saje nak naikkan seri bilik kononnya. Bolehlah...menarik di mata saya, suami dan anak-anak.


Bantal-bantal tumpang bertenggek..

Dari segi keluasan, bilik ini sedikit luas dibandingkan dengan bilik anak-anak di rumah sewa sebelum ini. Sedikit selesa, jika anak-anak main berdua di dalam bilik, berempat dengan mama dan papa pun masih selesa.

Di dinding kanan pintu masuk, saya gantungkan lima buah frame baju rompers Eusoff dan Elyass. Rompers yang pertama saya beli untuk abang Eusoff lebih kurang 6 tahun lepas. Sewaktu usia kandungan baru mencecah 5 bulan, excited anak pertama la katakan..

Sempat beberapa orang anak buah merasa pakai dan sempat juga Elyass pakai. Sudah sampai masa untuk saya frame kan elok-elok baju tu.. kenangan yang teramat sangat! Lepas ni.. kalau dapat baby boy lagi tak merasa dah pakai baju ni.. Harapan hati sebenarnya nakkan girl pulak..hihihi.. doakan saya yerk..?

Biarlah rompers-rompers itu tergantung disitu sehingga la anak-anak membesar. Biar diorang tahu bagaimana kecilnya diorang dulu... Sebesar tapak tangan mama dan papa je!



Di dinding kiri pintu masuk , saya gantungkan dua kanvas frame, gambar Eusoff dan Elyass ketika masing-masing berusia 6 bulan.. Sama, tapi tak serupa... Lama dah saya order kanvas frame ni.. waktu Elyass 7-8 bulan kot.. Memang plan untuk gantung di rumah sendiri... Alhamdulillah.. tercapai impian itu.



Rak Ikea hitam (dah lupa namanya) yang saya letakkan kotak warna warni Mr. Diy di atasnya sebagai tempat penstoran mainan dan rak buku Ikea saya susunkan sebelah menyebelah. Kalau perasan rak buku ini dulu saya letakkan di ruang tamu. Memandangkan bilik ini besar saya susunkan semua di dalam bilik. Biar ruang tamu lapang selapang-lapangnya..

Nak baca pasal rak buku abang? Jom kemas rak buku dan alatan belajar 

Kotak mainan, mama terlebih rajin tampalkan kertas comel-comel tu untuk kategorikan jenis mainan. Dah ajar abang cara penyimpanan.. ada masa ikut la juge.. tapi kebanyakkan masa main campak je masuk mana-mana kotak yang dia suka.. Biasanya mama akan sorting balik mengikut kategorinya..:p

Takpe lah anak.. kamu masih lagi dalam proses pembelajaran untuk hidup berdisiplin.. makin besar, makin abang reti la hendaknya.

Nak baca pasal penstoran maianan abang Eusoff dulu-dulu? Storage mainan nanak


Buku-buku mama tumpang bertenggek, tak cukup tempat penyimpanan.. masih mencari idea..

Whiteboard Ikea disusun selari dengan rak mainan dan rak buku. Jarang-jarang sekali datang mood menulis, menconteng... memang abis la whiteboard ni dikerjakan. Sampai ke frame kayu tu pun dicontengnya.. ikut kamu la anak-anak.. Memang itu la fungsinya. Cuma perlu pemantauan juga, bimbang melarat ke dinding bilik dicontengnya.. menangis mama nanti.. :)

Atas whiteboard saya sangkut 2 buah bekas pampers. Satu untuk Eusoff dan satu untuk Elyass... Sekarang dua-dua pun untuk Elyass dah sebab abang Eusoff makin jarang pakai pampers. Alhamdulillah..



Meja belajar abang Eusoff dan Elyass diletak tengah-tengah dihujung bilik, bertentangan dengan tingkap. Pencahayaan yang cukup, membantu abang membuat aktiviti atau kerja-kerja menulis dan membaca di situ.

Nak baca pasal meja belajar abang? Khilfi eusoff dan meja belajarnya

Dikanan dinding masuk tempat parking kenderaan-kenderaan. Parking lurus-lurus mama pesan :p Hujung dinding kotak mainan pink dan biru untuk penstoran mainan-mainan bersaiz besar.

Nak baca pasal kenderaan-kenderaan ini tika abang Eusoff kecil-kecil dulu?
Nak shiekal
Shiekal baru caye


Redup mata memandang..

Ada beberapa perkara yang masih dalam pertimbangan untuk dibuat di ruang anak-anak ini. Bukan sesuatu yang penting, tidak memberi apa-apa kesan pun jika tidak dilaksanakan. Saya listkan dulu, sebagai projek jangkamasa panjang :

1) Menukar langsir yang lebih sesuai dengan bilik anak-anak
2) Menukar katil baru untuk mereka (katil sedia ada rosak bahagian support kayu tilam atas, jadinya tilam bahagian bawah sudah tidak boleh ditarik keluar)

Hanya itu progress bilik anak setakat hari ini. Walaupun hanya biasa-biasa, tapi anak-anak suka, Alhamdulillah.

Nak tengok tidur merangakap bilik mainan abang Eusoff di rumah sewa sebelum ni..? 
Bilik sikecil ilham mama dan papa






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright to DIANA SAILA
Designed by UMIESUEstudio 2015